Friday, 30 November 2012

PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT

PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT

Sembahyang akan terbatal apabila seseorang yang bersembahyang melakukan salah satu daripada perkara-perkara berikut:
1. Percakapan yang disengajakan selain Al-Qur’an, zikir dan doa. Percakapan yang membatalkan itu sekurang-kurangnya terdiri daripada dua huruf atau lebih sekalipun tidak difahami maknanya. Begitu juga jika hanya satu huruf tetapi difahami maknanya.

2. Melakukan perbuatan atau pergerakan luaran yang banyak (lebih tiga kali) dan berurutan.

3. Gugur salah satu daripada syarat-syarat sembahyang. Antaranya:

a) Berlaku hadath sama ada kecil atau besar sebelum salam pertama secara sengaja atau tidak kecuali hadath yang berterusan seperti seorang yang berpenyakit buasir serius.

b) Terkena najis yang tidak dimaafkan sama ada pada badan, pakaian atau tempat sembahyang tanpa sempat dibuang atau dielakkan serta merta sebelum berlalu tempoh tama’ninah yang paling minima.

c) Aurat terbuka secara sengaja walaupun ditutup serta merta atau tidak sengaja tetapi sempat menutupnya serta merta.

d) Dada terpesong daripada qiblat dalam keadaan sedar.

e) Orang yang bersembahyang menjadi gila, pengsan atau mabuk semasa melakukannya.

4. Berlaku kepincangan pada salah satu rukun sembahyang seperti dalam keadaan berikut:

a) Mengubah niat dengan berazam untuk keluar daripada sembahyang atau menggantungkan tamat sembahyang dengan sesuatu perkara.

b) Syak pada niat, takbiratul ihram atau pada jenis sembahyang yang diniatkan.

c) Merasa ragu-ragu atau syak sama ada telah memutuskan sembahyang atau tidak.

d) Sesuatu rukun diputuskan dengan sengaja seperti melakukan i‘tidal sebelum sempurna ruku‘ secara tama’ninah.

e) Menambah mana-mana rukun dengan sengaja seperti menambah ruku‘ atau sujud.

f) Memanjangkan rukun yang pendek dengan sengaja.

5. Makan dan minum semasa sembahyang dengan banyak melebihi uruf.

6. Ketawa, berdehem, menangis, mengerang kesakitan yang dilakukan dengan sengaja hingga mengeluarkan bunyi yang jelas sekadar dua huruf sekalipun tidak difahami.

7. Murtad walaupun dalam bentuk gambaran kasar bukannya secara hukmi.

PENGERTIAN SOLAT

PENGERTIAN SOLAT 

Solat dari segi bahasa bermaksud doa atau doa dengan sesuatu kebaikan.   Dari segi syara‘, solat bermaksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan   yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan   syarat-syarat tertentu. Perkataan-perkataan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun qawliyy.  Manakala perbuatan-perbuatan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun   fi‘liyy dan perlakuan selain daripada perkataan dan perbuatan dikenali
sebagai rukun qalbiyy.


WAKTU-WAKTU YANG DITEGAH MELAKUKAN SOLAT

Terdapat lima waktu yang telah dinyatakan oleh Sunnah sebagai waktu yang ditegah untuk melakukan sembahyang di dalamnya, iaitu:

1. Selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari.

2. Semasa naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari.

3. Waktu matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir (masuk waktu Zuhur).

4. Selepas sembahyang ‘Asar hingga terbenam matahari.

5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam.

Tegahan untuk melakukan sembahyang pada waktu-waktu ini bukanlah mutlaq, tetapi khusus pada jenis sembahyang tertentu sahaja, iaitu:
1. Semua sembahyang yang tidak ada sebab untuk melakukannya pada waktu-waktu itu seperti sembahyang sunat mutlaq dan sembahyang sunat tasbih.

2. Sembahyang yang sebab melakukannya terkemudian seperti sunat ihram dan istikharah.

Semua sembahyang ini jika dilakukan pada waktu-waktu tersebut hukumnya makruh tahrim yang sangat ditegah dan sembahyang itu juga menjadi batal. Pengecualian kepada sembahyang yang telah disebut ialah beberapa sembahyang tertentu iaitu:
1. Sembahyang yang mempunyai sebab untuk melakukannya seperti sembahyang yang telah luput (qadha’), jenazah, nazar, sunat wudhu’ dan tahiyyatul masjid.

2. Sembahyang yang mempunyai sebab yang seiringan dengan waktu itu seperti sembahyang kusuf (gerhana) dan istisqa’ (minta hujan).

3. Sembahyang Jumaat ketika matahari tegak.

4. Sembahyang di Tanah Haram Makkah kerana kelebihan sembahyang itu sendiri.

Selain daripada waktu-waktu tersebut, terdapat beberapa waktu lain yang ditegah melakukan sembahyang, antaranya sembahyang semasa khatib menaiki minbar masjid untuk membaca khutbah dan sebelum sembahyang Maghrib kecuali sunat rawatib pada kedua-duanya.