Monday, 10 December 2012

SOAL JAWAB SOLAT

Soalan : Apakah hikmah di sebalik perintah supaya membaca dengan perlahan (bagi solat Zuhur dan Asar) dan dibaca dengan nyaring (bagi solat Maghrib, Isyak dan Subuh)?

Jawapan: Solat yang dibaca dengan nyaring kerana pada permulaan Islam kaum Muslimin amat lemah, maka sebab itu mereka dibolehkan membaca dengan nyaring ketika bersolat pada kebiasaannya orang kafir tidak lagi berkeliaran pada waktu itu iaitu waktu malam dan subuh. Memandangkan kaum Musyrikin sering berkeliaran pada siang hari maka dengan itu solat dibaca secara perlahan.


Soalan: Seorang lelaki bersolat dengan memakai jubah labuh, semasa ia bersolat ia memandang auratnya sendiri melalui belahan bajunya di dadanya sehingga dapat melihat kemaluannya. Adakah batal solatnya ataupun tidak?

Jawapan: Batal solatnya

Soalan: Jika kita sedang bersolat tiba-tiba kita merasai ada sesuatu melekat dicelah-celah gigi lalu kita pun cuba mengeluarkannya dengan lidah sehingga terpaksa menggerakkan lidah lebih dari tiga kali, adakah perbuatan ini membatalkan solat?

Jawapan : Tidak membatalkan solat dengan hanya menggerakkan lidah walaupun gerakan yang banyak melainkan dengan tujuan untuk bermain-main, maka membatalkan solat.

Soalan : Orang yang bersolat di dalam bilik mandi, adakah dikira makruh ataupun tidak? Adakah masih ada pahala baginya ataupun tidak?

Jawapan : Soal makruh ataupun tidak bukan bergantung pada zat solat itu, tetapi ia dikaitkan dengan soal tempat. Ini bererti tidak menghalang ia daripada mendapat pahala solat yang dikerjakannya selagi solatnya sah dan sempurna. Adapun yang menjadi makruh itu ialah bergantung pada tempat di mana ia mengerjakan solatnya sama seperti bersolat di atas sejadah yang dicuri atau memakai pakaian curi dan sebagainya. Pahala solatnya tetap ada.

Soalan : Ada pendapat mengatakan makruh sekiranya kita bersolat mengikut imam yang fasiq. Manakah yang lebih baik antara mengikut imam yang fasiq atau bersolat secara bersendirian atau kedua-duanya sama sahaja?

Jawapan : Mengikut kaul yang sah, solat secara berjemaah walaupun berimamkan imam yang fasiq adalah lebih baik daripada bersolat secara seorang diri.

.

Sunday, 9 December 2012

Mari Belajar Solat






video





Perbezaan Solat Lelaki Dan Wanita

video






AKIBAT MENINGGALKAN SEMBAHYANG



 SIKSAAN KETIKA HIDUP DI DUNIA 
  1. Allah mengurangkan keberkatan umurnya.
  2. Rezekinya dipersempitkan oleh Allah.
  3. Tidak ada tempat baginya di sisi agama Islam.
  4. Hilang cahaya soleh dari wajahnya.
  5. Amal kebajikan yang dilakukannya langsung tidak diberi pahala.

SIKSAAN KETIKA SAKHARATUL MAUT

  1. Ia akan menghadapi sakharatul maut dalam keadaan hina.
  2. Matinya dalam keadaan menderita kelaparan.
  3. Matinya dalam keadaan yang tersangat haus walaupun diberi minum air sebayak tujuh lautan.
SIKSAAN KETIKA DALAM KUBUR

  1. Allah akan menyempitkan kuburnya dengan sesempit-sempitnya.
  2. Kuburnya akan digelapkan.
  3. Allah akan menyiksanya dengan pedih sehingga hari Qiamat.
SIKSAAN KETIKA BERADA DI AKHIRAT

  1. Ia akan dibelenggu dan diseret ke padang Mashyar oleh Malaikat.
  2. Allah tidak akan memandangnya dengan pandangan belas kasihan.
  3. Allah tidak akan mengampuni dosanya dan dia akan disiksa dengan keras di dalam neraka.

NISBAH DOSA MENINGGALKAN SEMBAHYANG

  1. Sembahyang Subuh  - Ia akan disiksa selama 60 tahun di dalam Neraka (bersamaan 60,000 tahun dunia).

  2. Sembahyang Zuhur - Dosanya seperti membunuh 1000 jiwa orang Islam.

  3. Sembahyang Asar - Dosanya seperti ia meruntuhkan Kaabah.

  4. Sembahyang Maghrib - Dosanya seperti ia berzina dengan ibunya (bagi lelaki) atau dengan ayahnya (bagi perempuan).

  5. Sembahyang Isyak - Allah tidak redha ia hidup di bumi Allah ini dan digesa agar ia mencari bumi lain.

Saturday, 8 December 2012

Kesilapan Yang Membawa Solat Tidak Sempurna Dan Menjadi Batal



Di sini saya ingin berkongsi sedikit masalah solat yang menjadi punca solat tidak sempurna dan batal seterusnya solat yang kita kerjakan itu tidak sah. Masalah ini jika diteliti sebenarnya kita sudah mengetahuinya. Perkara ini berlaku kerana sedikit kesangsian sahaja dalam melakukan ibadat solat.

1. Berlaku dua jemaah

Sekiranya terdapat jemaah dalam satu masjid atau surau atau seumpamanya, kita tidak boleh membuat jemaah lain sehingga jemaah tersebut selesai solat.

2. Tak dapat rakaat

Biasanya masalah ini berlaku ketika imam sedang rukuk. Makmum yang hadir lewat ingin bersama imam yang sedang keadaan rukuk. Setelah makmum tabiratul ihram, makmum tidak perlu membaca surah al-Fatihah kerana telah ditanggung oleh imam. Makmum mestilah terus rukuk berserta toma’ninah ( tunggu sekadar subhanallah ) bersama imam. Sekira tiada dapat toma’ninah, rakaat tersebut tidak dikira.

3. Mengeluarkan suara dengan sengaja ( selain doa, zikir dan al-Qur’an )

Masalah ini sememangnya kita sudah tahu dari kecil lagi. Tapi, sedarkah bahawa berdehem dengan sengaja juga dikira mengeluarkan suara? Contohnya apabila kita ingin batuk atau lain-lain, kita membuat “ehem ehem” supaya batuk dapat dielakkan. Perkara seprti ini sebenarnya membatalkan solat kita. Kecuali pada rukun qauli yang wajib. Itupun hanya sekadar sahaja. Tidak boleh lebih.

4. Terlepas tiga rukun fi’li yang panjang

Masalah ini jarang diketahui oleh kita. Contohnya, makmum yang membaca surah al-Fatihah secara lambat akan ketinggalan bersama imam dalam rukun yang lain. Lebih mudah, imam telah rukuk ( satu rukun ), kemudian i’tidal ( dua rukun ) dan seterusnya sujud ( tiga rukun ). Namun makmum masih lagi belum selesai membaca al-Fatihah. Sekiranya imam melakukan satu rukun sahaja lagi iaitu duduk di antara dua sujud, maka batallah solat makmum tadi. Oleh itu, makmum haruslah membuat keputusan untuk mufaraqah (keluar daripada imam) atau terus sujud sebelum imam meneruskan rukun yang lain. Makmum yang terus sujud tadi tidak dikira rakaat pada rakaat itu.


5. Menanggung najis

Mungkin najis kita memang sudah tahu. Bagaimana pula dengan bangkai semut? Bangkai dikira najis. Sekiranya bangkai tersebut ada pada pakaian atau tempat solat, maka ia dikira menanggung najis. Tidak kira bangkai apa-apa, asalkan ia mati dikira bangkai. Tempat solat ialah bahagian yang terkena pada bahagian solat sahaja.

6. Niat keluar dari solat

Apabila kita niat keluar dari solat, maka batallah solat kita. Solat juga terbatal sekira kita niat mahu keluar sekira berlaku sesuatu. Contohnya, ketika sedang solat, tiba-tiba cuaca berubah menjadi mendung petanda mahu hujan. Oleh itu, kita berniat di dalam hati, ” kalau hujan, aku nak keluar dari sembahyang dan mahu mengambil pakaian aku di ampaian”. Jadi, sebenarnya solat kita sudah terbatal.

7. Bacaan tidak sah

Bacaan tidak sah di sini bukan hanya merujuk kepada tidak betul dari segi makhraj atau tajwid kerana itu sudah pasti tidak sah, tetapi masalah di sini ialah tidak membaca rukun qauli dengan betul. Ramai yang tidak perasan bahawa membaca adalah sekuang-kurangnya dengar di telinga kita sendiri. Sekiranya tidak dengar, maka itu hanya membaca dalam hati. Jika hujan lebat atau bunyi bising seumpamanya menyebabkan bacaan tidak dapat dengar, maka sekadar bacaan yang biasa kita baca sahaja.

Friday, 7 December 2012

AMALAN SUNAT SEBELUM SOLAT



Bagi orang lelaki disunatkan azan (bang) dan iqamah sebelum sembahyang dan bagi orang perempuan di sunatkan iqamah sahaja.

Walau bagaimanapun harus juga bagi orang perempuan melakukan azan (bang) sekiranya tidak dihadiri oleh orang lelaki.

Azan hendaklah dinyaringkan supaya dapat didengari oleh orang ramai yang berada di sekitarnya.


PERKARA-PERKARA YANG MAKRUH DI DALAM SEMBAHYANG

Di antara perkara-perkara yang makruh dilakukan dalam sembahyang ialah :

Berpaling dengan muka dari kiblat. Adapun berpaling dengan dada dari kiblat batal sembahyang.

Mendongakkan dengan muka ke langit.

Berludah di dalam sembahyang di hadapan atau di kanannya. Sementara berludah ke kiri atau bawah tapak kaki tidak makruh sekiranya sembahyang bukan di dalam masjid. Adapun di dalam masjid , haram berludah walau di pihak mana sekalipun. Begitu juga haram berludah di dalam masjid walaupun di luar sembahyang. Sekiranya berlaku sesuatu yang memerlukan kepada berludah di dalam sembahyang di masjid hendaklah berludah di kain ataupun disediakan bekas ludah di sebelah kiri.

Tidak menutup kepala dan bahu di dalam sembahyang.

Terganggu di waktu sembahyang kerana hendak membuang najis sama ada kecil atau besar ataupun kerana hendak membuang angin (kentut).

Sembahyang di hadapan makanan atau minuman yang teringin kepadanya.

Sembahyang di tengah jalan.

Sembahyang di kubur selain dari kubur Nabi, Rasulullah atau syuhada'.

Menyingkapkan (mengangkatkan) rambut dan kain kerana hendak turun sujud.

Meletakan tangan ke atas mulut tanpa sesuatu hajat.


WUDHU'


WUDHU' (AIR SEMBAHYANG)

 Bersuci adalah perkara yang paling penting di dalam beribadat kepada Allah, oleh itu seseorang yang akan melakukan ibadat sembahyang diwajibkan berwudhu' terlebih dulu sebagaimana Firman Allah Taala :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاَةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Yang Bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. (Surah Al-Maidah : 6)

 Sabda Nabi Muhammad SAW :

لا يقبل الله صلاة من احدث حتى يتوضاء

 Allah tidak menerima sembahyang seorang yang berhadas sehingga mereka mengambil wudhu'.

CARA CARA WUDHU'


 CARA-CARA WUDHU'

 Fardhu wudhu' mengandungi enam perkara.

Niat.
Niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh sebahagian daripada muka, tidak disyaratkan berkekalan niat sehingga selesai membasuh muka, tetapi jangan memalingkan niat kepada perkara lain.

Lafaz niatnya ialah :

نَوَيْتُ الْوُضُوْءَ .
Sahaja aku ambil air sembahyang. Atau
نَوَيْتُ الطَّهَارَةَ عَنِ الْحَدَثِ
Sahaja aku bersuci daripada hadas.

Membasuh Muka.
Kawasan muka ialah dari sebelah atas bermula dari tempat tumbuh rambut kepada dan sebelah bawahnya ialah dagu, lebarnya ialah dari anak telinga kepada anak telinga yang satu lagi dan kelilingnya dikira kadar bulat muka.

Wajib membasuh semua kawasan muka tersebut dan juga bulu-bulu yang tumbuh di dalam kawasan muka sama ada jarang atau lebat.

Janggut, misai dan dua tali tudung (jambang) lelaki yang lebat sekira-kira tidak kelihatan kulit yang di bawahnya memadailah membasuh yang zahirnya sahaja. Jikalau tidak lebat dengan sekira-kira kelihatan kulit yang dibawahnya maka wajib menyampaikan air kepada batinnya dan juga kulit yang di bawahnya.

Membasuh dua tangan sehingga dua siku.
Dua siku juga wajib di basuh kerana ianya termasuk anggota wudhu' dan wajib membasuh barang yang di atas dua tangannya daripada bulu zahir dan batin sama ada lebat atau nipis dan juga di celah kuku.

Menyapu kepala
Iaitu menyapu sebahagian daripada kepala atau menyapu sebahagian daripada rambut yang berada di dalam kawasan kepala. Boleh disapu di mana bahagian kepala sama ada di bahagian hadapan, belakang, di sebelah kiri atau di sebelah kanan dengan sekira-kira dinamakan bahagian kepala.

Tidak sah wudhu sekiranya disapu ke atas rambut yang disanggul yang mana apabila diuraikan sanggul itu akan terkeluar daripada kepala. Tidak disyaratkan bahawa menyapu itu dengan digerakkan tangan bahkan memadai dengan meletakkan tangan yang basah ke atas kepala tanpa digerakkan.

Membasuh dua kaki sehingga dua buku lali.
Dua buku lali juga wajib dibasuh kerana ianya termasuk anggota wudhu'.

Wajib membasuh barang yang ada di atas dua kaki dari bulu dan sebagainya sepertimana juga hukumnya pada membasuh anggota tangan.

Perhatian :

Wajib menghilangkan segala benda yang mencegah sampai air kepada kulit seperti minyak , sisik ikan, getah, dakwat yang tebal yang tidak kelihatan warna kulit, duri atau sebagainya. Adapun kuping kudis atau selupat kulit tidak wajib dihilangkan walaupun mudah pada menghilangkannya.

Hukum ini berlaku pada semua anggota wudhu'.

Tertib
Yang dimaksudkan dengan tertib di sini ialah melakukan peraturan mengambil wudhu' mengikut susunan sebagaimana yang disebut di atas tadi satu persatu melainkan niat kerana niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh satu bahagian daripada muka.

Sekiranya seseorang membenar akan empat orang lain membasuh akan anggota wudhu'nya dengan serentak dengan izinnya maka terangkat akan mukanya sahaja.

Adapun jika menyelam seseorang yang berhadas kecil di dalam air dengan berniat wudhu' maka sahlah wudhu'nya kerana hasil tertib dengan hanya berapa lahzoh yang sedikit sahaja.

MENGQADHA SOLAT


Membayar (Mengqadha) Solat

Membayar (mengqadha) solat yang ditinggalkan hukumnya wajib, baik kerana lupa, lalai atau pun tertidur.

Rasulallah saw bersabda: “Siapa yang tertidur atau lupa solat, maka solatlah ketika ingat” (HR Bukhari Muslim).

Dalam hadis  lainya yang diriwayatkan dari Imran bin Hushain ra, ia berkata: “Pernah kami pada suatu perjalanan bersama dengan Nabi saw dan kami berjalan malam hari sehinggal larut malam. Lalu kami tidur dan tidak ada tidur yang lebih nyenyak dari itu bagi orang musafir, dan tidak ada yang membangunkan kami selain panas matahari. Setelah Nabi saw bangun, mereka mengadukan kepada beliau hal kesiangan mereka. Rasulallah saw menjawab: tidak mengapa dan mari kita berangkat! Lalu Nabi berangkat dan setelah berjalan tidak seberapa jauh, Nabi berhenti dan berwudhu’ dan orang-orang dipanggil untuk solat, maka solatlah Nabi saw bersama mereka. (HR Bukhari Muslim)





Saturday, 1 December 2012

SYARAT SAH SOLAT



SYARAT-SYARAT SOLAT

Syarat dalam sembahyang terbahagi kepada dua iaitu syarat taklif atau dikenali sebagai syarat wajib dan syarat sah atau tunai.

SYARAT WAJIB SOLAT

Syarat wajib ialah sesuatu yang bergantung kepadanya ketentuan wajib atau tidaknya sembahyang ke atas seseorang.
Syarat-syarat wajib dalam sembahyang adalah seperti berikut:
1. Beragama Islam.

2. Baligh.

3. Berakal.

4. Suci daripada haidh dan nifas.

5. Selamat salah satu anggota deria sama ada pendengaran atau penglihatan. Sembahyang tidak wajib ke atas orang yang dilahirkan buta dan pekak.

6. Sampai seruan agama Islam. Sembahyang tidak wajib kepada mereka yang tinggal terpencil dan tidak pernah berjumpa dengan pendakwah Islam.


SYARAT SAH SOLAT

Syarat sah sembahyang adalah syarat yang menentukan kesahihan sesuatu sembahyang atau dengan kata lain kesahihan sesuatu sembahyang bergantung kepadanya.
Syarat-syarat sah sebahyang adalah seperti berikut:
1. Suci daripada hadath kecil dan besar.

2. Suci tempat, pakaian dan tubuh badan daripada sebarang najis yang tidak dimaafkan.

3. Mengetahui tentang masuknya waktu sembahyang sama ada dengan yakin atau jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenainya.

4. Menutup aurat.

5. Menghadap ke arah qiblat (Ka‘bah).