Monday 10 December 2012

SOAL JAWAB SOLAT

Soalan : Apakah hikmah di sebalik perintah supaya membaca dengan perlahan (bagi solat Zuhur dan Asar) dan dibaca dengan nyaring (bagi solat Maghrib, Isyak dan Subuh)?

Jawapan: Solat yang dibaca dengan nyaring kerana pada permulaan Islam kaum Muslimin amat lemah, maka sebab itu mereka dibolehkan membaca dengan nyaring ketika bersolat pada kebiasaannya orang kafir tidak lagi berkeliaran pada waktu itu iaitu waktu malam dan subuh. Memandangkan kaum Musyrikin sering berkeliaran pada siang hari maka dengan itu solat dibaca secara perlahan.


Soalan: Seorang lelaki bersolat dengan memakai jubah labuh, semasa ia bersolat ia memandang auratnya sendiri melalui belahan bajunya di dadanya sehingga dapat melihat kemaluannya. Adakah batal solatnya ataupun tidak?

Jawapan: Batal solatnya

Soalan: Jika kita sedang bersolat tiba-tiba kita merasai ada sesuatu melekat dicelah-celah gigi lalu kita pun cuba mengeluarkannya dengan lidah sehingga terpaksa menggerakkan lidah lebih dari tiga kali, adakah perbuatan ini membatalkan solat?

Jawapan : Tidak membatalkan solat dengan hanya menggerakkan lidah walaupun gerakan yang banyak melainkan dengan tujuan untuk bermain-main, maka membatalkan solat.

Soalan : Orang yang bersolat di dalam bilik mandi, adakah dikira makruh ataupun tidak? Adakah masih ada pahala baginya ataupun tidak?

Jawapan : Soal makruh ataupun tidak bukan bergantung pada zat solat itu, tetapi ia dikaitkan dengan soal tempat. Ini bererti tidak menghalang ia daripada mendapat pahala solat yang dikerjakannya selagi solatnya sah dan sempurna. Adapun yang menjadi makruh itu ialah bergantung pada tempat di mana ia mengerjakan solatnya sama seperti bersolat di atas sejadah yang dicuri atau memakai pakaian curi dan sebagainya. Pahala solatnya tetap ada.

Soalan : Ada pendapat mengatakan makruh sekiranya kita bersolat mengikut imam yang fasiq. Manakah yang lebih baik antara mengikut imam yang fasiq atau bersolat secara bersendirian atau kedua-duanya sama sahaja?

Jawapan : Mengikut kaul yang sah, solat secara berjemaah walaupun berimamkan imam yang fasiq adalah lebih baik daripada bersolat secara seorang diri.

.

Sunday 9 December 2012

Mari Belajar Solat












Perbezaan Solat Lelaki Dan Wanita







AKIBAT MENINGGALKAN SEMBAHYANG



 SIKSAAN KETIKA HIDUP DI DUNIA 
  1. Allah mengurangkan keberkatan umurnya.
  2. Rezekinya dipersempitkan oleh Allah.
  3. Tidak ada tempat baginya di sisi agama Islam.
  4. Hilang cahaya soleh dari wajahnya.
  5. Amal kebajikan yang dilakukannya langsung tidak diberi pahala.

SIKSAAN KETIKA SAKHARATUL MAUT

  1. Ia akan menghadapi sakharatul maut dalam keadaan hina.
  2. Matinya dalam keadaan menderita kelaparan.
  3. Matinya dalam keadaan yang tersangat haus walaupun diberi minum air sebayak tujuh lautan.
SIKSAAN KETIKA DALAM KUBUR

  1. Allah akan menyempitkan kuburnya dengan sesempit-sempitnya.
  2. Kuburnya akan digelapkan.
  3. Allah akan menyiksanya dengan pedih sehingga hari Qiamat.
SIKSAAN KETIKA BERADA DI AKHIRAT

  1. Ia akan dibelenggu dan diseret ke padang Mashyar oleh Malaikat.
  2. Allah tidak akan memandangnya dengan pandangan belas kasihan.
  3. Allah tidak akan mengampuni dosanya dan dia akan disiksa dengan keras di dalam neraka.

NISBAH DOSA MENINGGALKAN SEMBAHYANG

  1. Sembahyang Subuh  - Ia akan disiksa selama 60 tahun di dalam Neraka (bersamaan 60,000 tahun dunia).

  2. Sembahyang Zuhur - Dosanya seperti membunuh 1000 jiwa orang Islam.

  3. Sembahyang Asar - Dosanya seperti ia meruntuhkan Kaabah.

  4. Sembahyang Maghrib - Dosanya seperti ia berzina dengan ibunya (bagi lelaki) atau dengan ayahnya (bagi perempuan).

  5. Sembahyang Isyak - Allah tidak redha ia hidup di bumi Allah ini dan digesa agar ia mencari bumi lain.

Saturday 8 December 2012

Kesilapan Yang Membawa Solat Tidak Sempurna Dan Menjadi Batal



Di sini saya ingin berkongsi sedikit masalah solat yang menjadi punca solat tidak sempurna dan batal seterusnya solat yang kita kerjakan itu tidak sah. Masalah ini jika diteliti sebenarnya kita sudah mengetahuinya. Perkara ini berlaku kerana sedikit kesangsian sahaja dalam melakukan ibadat solat.

1. Berlaku dua jemaah

Sekiranya terdapat jemaah dalam satu masjid atau surau atau seumpamanya, kita tidak boleh membuat jemaah lain sehingga jemaah tersebut selesai solat.

2. Tak dapat rakaat

Biasanya masalah ini berlaku ketika imam sedang rukuk. Makmum yang hadir lewat ingin bersama imam yang sedang keadaan rukuk. Setelah makmum tabiratul ihram, makmum tidak perlu membaca surah al-Fatihah kerana telah ditanggung oleh imam. Makmum mestilah terus rukuk berserta toma’ninah ( tunggu sekadar subhanallah ) bersama imam. Sekira tiada dapat toma’ninah, rakaat tersebut tidak dikira.

3. Mengeluarkan suara dengan sengaja ( selain doa, zikir dan al-Qur’an )

Masalah ini sememangnya kita sudah tahu dari kecil lagi. Tapi, sedarkah bahawa berdehem dengan sengaja juga dikira mengeluarkan suara? Contohnya apabila kita ingin batuk atau lain-lain, kita membuat “ehem ehem” supaya batuk dapat dielakkan. Perkara seprti ini sebenarnya membatalkan solat kita. Kecuali pada rukun qauli yang wajib. Itupun hanya sekadar sahaja. Tidak boleh lebih.

4. Terlepas tiga rukun fi’li yang panjang

Masalah ini jarang diketahui oleh kita. Contohnya, makmum yang membaca surah al-Fatihah secara lambat akan ketinggalan bersama imam dalam rukun yang lain. Lebih mudah, imam telah rukuk ( satu rukun ), kemudian i’tidal ( dua rukun ) dan seterusnya sujud ( tiga rukun ). Namun makmum masih lagi belum selesai membaca al-Fatihah. Sekiranya imam melakukan satu rukun sahaja lagi iaitu duduk di antara dua sujud, maka batallah solat makmum tadi. Oleh itu, makmum haruslah membuat keputusan untuk mufaraqah (keluar daripada imam) atau terus sujud sebelum imam meneruskan rukun yang lain. Makmum yang terus sujud tadi tidak dikira rakaat pada rakaat itu.


5. Menanggung najis

Mungkin najis kita memang sudah tahu. Bagaimana pula dengan bangkai semut? Bangkai dikira najis. Sekiranya bangkai tersebut ada pada pakaian atau tempat solat, maka ia dikira menanggung najis. Tidak kira bangkai apa-apa, asalkan ia mati dikira bangkai. Tempat solat ialah bahagian yang terkena pada bahagian solat sahaja.

6. Niat keluar dari solat

Apabila kita niat keluar dari solat, maka batallah solat kita. Solat juga terbatal sekira kita niat mahu keluar sekira berlaku sesuatu. Contohnya, ketika sedang solat, tiba-tiba cuaca berubah menjadi mendung petanda mahu hujan. Oleh itu, kita berniat di dalam hati, ” kalau hujan, aku nak keluar dari sembahyang dan mahu mengambil pakaian aku di ampaian”. Jadi, sebenarnya solat kita sudah terbatal.

7. Bacaan tidak sah

Bacaan tidak sah di sini bukan hanya merujuk kepada tidak betul dari segi makhraj atau tajwid kerana itu sudah pasti tidak sah, tetapi masalah di sini ialah tidak membaca rukun qauli dengan betul. Ramai yang tidak perasan bahawa membaca adalah sekuang-kurangnya dengar di telinga kita sendiri. Sekiranya tidak dengar, maka itu hanya membaca dalam hati. Jika hujan lebat atau bunyi bising seumpamanya menyebabkan bacaan tidak dapat dengar, maka sekadar bacaan yang biasa kita baca sahaja.

Friday 7 December 2012

AMALAN SUNAT SEBELUM SOLAT



Bagi orang lelaki disunatkan azan (bang) dan iqamah sebelum sembahyang dan bagi orang perempuan di sunatkan iqamah sahaja.

Walau bagaimanapun harus juga bagi orang perempuan melakukan azan (bang) sekiranya tidak dihadiri oleh orang lelaki.

Azan hendaklah dinyaringkan supaya dapat didengari oleh orang ramai yang berada di sekitarnya.


PERKARA-PERKARA YANG MAKRUH DI DALAM SEMBAHYANG

Di antara perkara-perkara yang makruh dilakukan dalam sembahyang ialah :

Berpaling dengan muka dari kiblat. Adapun berpaling dengan dada dari kiblat batal sembahyang.

Mendongakkan dengan muka ke langit.

Berludah di dalam sembahyang di hadapan atau di kanannya. Sementara berludah ke kiri atau bawah tapak kaki tidak makruh sekiranya sembahyang bukan di dalam masjid. Adapun di dalam masjid , haram berludah walau di pihak mana sekalipun. Begitu juga haram berludah di dalam masjid walaupun di luar sembahyang. Sekiranya berlaku sesuatu yang memerlukan kepada berludah di dalam sembahyang di masjid hendaklah berludah di kain ataupun disediakan bekas ludah di sebelah kiri.

Tidak menutup kepala dan bahu di dalam sembahyang.

Terganggu di waktu sembahyang kerana hendak membuang najis sama ada kecil atau besar ataupun kerana hendak membuang angin (kentut).

Sembahyang di hadapan makanan atau minuman yang teringin kepadanya.

Sembahyang di tengah jalan.

Sembahyang di kubur selain dari kubur Nabi, Rasulullah atau syuhada'.

Menyingkapkan (mengangkatkan) rambut dan kain kerana hendak turun sujud.

Meletakan tangan ke atas mulut tanpa sesuatu hajat.


WUDHU'


WUDHU' (AIR SEMBAHYANG)

 Bersuci adalah perkara yang paling penting di dalam beribadat kepada Allah, oleh itu seseorang yang akan melakukan ibadat sembahyang diwajibkan berwudhu' terlebih dulu sebagaimana Firman Allah Taala :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاَةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Yang Bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. (Surah Al-Maidah : 6)

 Sabda Nabi Muhammad SAW :

لا يقبل الله صلاة من احدث حتى يتوضاء

 Allah tidak menerima sembahyang seorang yang berhadas sehingga mereka mengambil wudhu'.

CARA CARA WUDHU'


 CARA-CARA WUDHU'

 Fardhu wudhu' mengandungi enam perkara.

Niat.
Niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh sebahagian daripada muka, tidak disyaratkan berkekalan niat sehingga selesai membasuh muka, tetapi jangan memalingkan niat kepada perkara lain.

Lafaz niatnya ialah :

نَوَيْتُ الْوُضُوْءَ .
Sahaja aku ambil air sembahyang. Atau
نَوَيْتُ الطَّهَارَةَ عَنِ الْحَدَثِ
Sahaja aku bersuci daripada hadas.

Membasuh Muka.
Kawasan muka ialah dari sebelah atas bermula dari tempat tumbuh rambut kepada dan sebelah bawahnya ialah dagu, lebarnya ialah dari anak telinga kepada anak telinga yang satu lagi dan kelilingnya dikira kadar bulat muka.

Wajib membasuh semua kawasan muka tersebut dan juga bulu-bulu yang tumbuh di dalam kawasan muka sama ada jarang atau lebat.

Janggut, misai dan dua tali tudung (jambang) lelaki yang lebat sekira-kira tidak kelihatan kulit yang di bawahnya memadailah membasuh yang zahirnya sahaja. Jikalau tidak lebat dengan sekira-kira kelihatan kulit yang dibawahnya maka wajib menyampaikan air kepada batinnya dan juga kulit yang di bawahnya.

Membasuh dua tangan sehingga dua siku.
Dua siku juga wajib di basuh kerana ianya termasuk anggota wudhu' dan wajib membasuh barang yang di atas dua tangannya daripada bulu zahir dan batin sama ada lebat atau nipis dan juga di celah kuku.

Menyapu kepala
Iaitu menyapu sebahagian daripada kepala atau menyapu sebahagian daripada rambut yang berada di dalam kawasan kepala. Boleh disapu di mana bahagian kepala sama ada di bahagian hadapan, belakang, di sebelah kiri atau di sebelah kanan dengan sekira-kira dinamakan bahagian kepala.

Tidak sah wudhu sekiranya disapu ke atas rambut yang disanggul yang mana apabila diuraikan sanggul itu akan terkeluar daripada kepala. Tidak disyaratkan bahawa menyapu itu dengan digerakkan tangan bahkan memadai dengan meletakkan tangan yang basah ke atas kepala tanpa digerakkan.

Membasuh dua kaki sehingga dua buku lali.
Dua buku lali juga wajib dibasuh kerana ianya termasuk anggota wudhu'.

Wajib membasuh barang yang ada di atas dua kaki dari bulu dan sebagainya sepertimana juga hukumnya pada membasuh anggota tangan.

Perhatian :

Wajib menghilangkan segala benda yang mencegah sampai air kepada kulit seperti minyak , sisik ikan, getah, dakwat yang tebal yang tidak kelihatan warna kulit, duri atau sebagainya. Adapun kuping kudis atau selupat kulit tidak wajib dihilangkan walaupun mudah pada menghilangkannya.

Hukum ini berlaku pada semua anggota wudhu'.

Tertib
Yang dimaksudkan dengan tertib di sini ialah melakukan peraturan mengambil wudhu' mengikut susunan sebagaimana yang disebut di atas tadi satu persatu melainkan niat kerana niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh satu bahagian daripada muka.

Sekiranya seseorang membenar akan empat orang lain membasuh akan anggota wudhu'nya dengan serentak dengan izinnya maka terangkat akan mukanya sahaja.

Adapun jika menyelam seseorang yang berhadas kecil di dalam air dengan berniat wudhu' maka sahlah wudhu'nya kerana hasil tertib dengan hanya berapa lahzoh yang sedikit sahaja.

MENGQADHA SOLAT


Membayar (Mengqadha) Solat

Membayar (mengqadha) solat yang ditinggalkan hukumnya wajib, baik kerana lupa, lalai atau pun tertidur.

Rasulallah saw bersabda: “Siapa yang tertidur atau lupa solat, maka solatlah ketika ingat” (HR Bukhari Muslim).

Dalam hadis  lainya yang diriwayatkan dari Imran bin Hushain ra, ia berkata: “Pernah kami pada suatu perjalanan bersama dengan Nabi saw dan kami berjalan malam hari sehinggal larut malam. Lalu kami tidur dan tidak ada tidur yang lebih nyenyak dari itu bagi orang musafir, dan tidak ada yang membangunkan kami selain panas matahari. Setelah Nabi saw bangun, mereka mengadukan kepada beliau hal kesiangan mereka. Rasulallah saw menjawab: tidak mengapa dan mari kita berangkat! Lalu Nabi berangkat dan setelah berjalan tidak seberapa jauh, Nabi berhenti dan berwudhu’ dan orang-orang dipanggil untuk solat, maka solatlah Nabi saw bersama mereka. (HR Bukhari Muslim)





Saturday 1 December 2012

SYARAT SAH SOLAT



SYARAT-SYARAT SOLAT

Syarat dalam sembahyang terbahagi kepada dua iaitu syarat taklif atau dikenali sebagai syarat wajib dan syarat sah atau tunai.

SYARAT WAJIB SOLAT

Syarat wajib ialah sesuatu yang bergantung kepadanya ketentuan wajib atau tidaknya sembahyang ke atas seseorang.
Syarat-syarat wajib dalam sembahyang adalah seperti berikut:
1. Beragama Islam.

2. Baligh.

3. Berakal.

4. Suci daripada haidh dan nifas.

5. Selamat salah satu anggota deria sama ada pendengaran atau penglihatan. Sembahyang tidak wajib ke atas orang yang dilahirkan buta dan pekak.

6. Sampai seruan agama Islam. Sembahyang tidak wajib kepada mereka yang tinggal terpencil dan tidak pernah berjumpa dengan pendakwah Islam.


SYARAT SAH SOLAT

Syarat sah sembahyang adalah syarat yang menentukan kesahihan sesuatu sembahyang atau dengan kata lain kesahihan sesuatu sembahyang bergantung kepadanya.
Syarat-syarat sah sebahyang adalah seperti berikut:
1. Suci daripada hadath kecil dan besar.

2. Suci tempat, pakaian dan tubuh badan daripada sebarang najis yang tidak dimaafkan.

3. Mengetahui tentang masuknya waktu sembahyang sama ada dengan yakin atau jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenainya.

4. Menutup aurat.

5. Menghadap ke arah qiblat (Ka‘bah).

Friday 30 November 2012

PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT

PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT

Sembahyang akan terbatal apabila seseorang yang bersembahyang melakukan salah satu daripada perkara-perkara berikut:
1. Percakapan yang disengajakan selain Al-Qur’an, zikir dan doa. Percakapan yang membatalkan itu sekurang-kurangnya terdiri daripada dua huruf atau lebih sekalipun tidak difahami maknanya. Begitu juga jika hanya satu huruf tetapi difahami maknanya.

2. Melakukan perbuatan atau pergerakan luaran yang banyak (lebih tiga kali) dan berurutan.

3. Gugur salah satu daripada syarat-syarat sembahyang. Antaranya:

a) Berlaku hadath sama ada kecil atau besar sebelum salam pertama secara sengaja atau tidak kecuali hadath yang berterusan seperti seorang yang berpenyakit buasir serius.

b) Terkena najis yang tidak dimaafkan sama ada pada badan, pakaian atau tempat sembahyang tanpa sempat dibuang atau dielakkan serta merta sebelum berlalu tempoh tama’ninah yang paling minima.

c) Aurat terbuka secara sengaja walaupun ditutup serta merta atau tidak sengaja tetapi sempat menutupnya serta merta.

d) Dada terpesong daripada qiblat dalam keadaan sedar.

e) Orang yang bersembahyang menjadi gila, pengsan atau mabuk semasa melakukannya.

4. Berlaku kepincangan pada salah satu rukun sembahyang seperti dalam keadaan berikut:

a) Mengubah niat dengan berazam untuk keluar daripada sembahyang atau menggantungkan tamat sembahyang dengan sesuatu perkara.

b) Syak pada niat, takbiratul ihram atau pada jenis sembahyang yang diniatkan.

c) Merasa ragu-ragu atau syak sama ada telah memutuskan sembahyang atau tidak.

d) Sesuatu rukun diputuskan dengan sengaja seperti melakukan i‘tidal sebelum sempurna ruku‘ secara tama’ninah.

e) Menambah mana-mana rukun dengan sengaja seperti menambah ruku‘ atau sujud.

f) Memanjangkan rukun yang pendek dengan sengaja.

5. Makan dan minum semasa sembahyang dengan banyak melebihi uruf.

6. Ketawa, berdehem, menangis, mengerang kesakitan yang dilakukan dengan sengaja hingga mengeluarkan bunyi yang jelas sekadar dua huruf sekalipun tidak difahami.

7. Murtad walaupun dalam bentuk gambaran kasar bukannya secara hukmi.

PENGERTIAN SOLAT

PENGERTIAN SOLAT 

Solat dari segi bahasa bermaksud doa atau doa dengan sesuatu kebaikan.   Dari segi syara‘, solat bermaksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan   yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan   syarat-syarat tertentu. Perkataan-perkataan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun qawliyy.  Manakala perbuatan-perbuatan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun   fi‘liyy dan perlakuan selain daripada perkataan dan perbuatan dikenali
sebagai rukun qalbiyy.


WAKTU-WAKTU YANG DITEGAH MELAKUKAN SOLAT

Terdapat lima waktu yang telah dinyatakan oleh Sunnah sebagai waktu yang ditegah untuk melakukan sembahyang di dalamnya, iaitu:

1. Selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari.

2. Semasa naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari.

3. Waktu matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir (masuk waktu Zuhur).

4. Selepas sembahyang ‘Asar hingga terbenam matahari.

5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam.

Tegahan untuk melakukan sembahyang pada waktu-waktu ini bukanlah mutlaq, tetapi khusus pada jenis sembahyang tertentu sahaja, iaitu:
1. Semua sembahyang yang tidak ada sebab untuk melakukannya pada waktu-waktu itu seperti sembahyang sunat mutlaq dan sembahyang sunat tasbih.

2. Sembahyang yang sebab melakukannya terkemudian seperti sunat ihram dan istikharah.

Semua sembahyang ini jika dilakukan pada waktu-waktu tersebut hukumnya makruh tahrim yang sangat ditegah dan sembahyang itu juga menjadi batal. Pengecualian kepada sembahyang yang telah disebut ialah beberapa sembahyang tertentu iaitu:
1. Sembahyang yang mempunyai sebab untuk melakukannya seperti sembahyang yang telah luput (qadha’), jenazah, nazar, sunat wudhu’ dan tahiyyatul masjid.

2. Sembahyang yang mempunyai sebab yang seiringan dengan waktu itu seperti sembahyang kusuf (gerhana) dan istisqa’ (minta hujan).

3. Sembahyang Jumaat ketika matahari tegak.

4. Sembahyang di Tanah Haram Makkah kerana kelebihan sembahyang itu sendiri.

Selain daripada waktu-waktu tersebut, terdapat beberapa waktu lain yang ditegah melakukan sembahyang, antaranya sembahyang semasa khatib menaiki minbar masjid untuk membaca khutbah dan sebelum sembahyang Maghrib kecuali sunat rawatib pada kedua-duanya.

Tuesday 30 October 2012

16 JENIS SOLAT SUNAT


1. Sunat Rawatib - iaitu solat sunat mengiringi solat fardhu. Solat sunat rawatib ada dua jenis:

a. Sunat "Qabliyah" iaitu solat rawatib yang dikerjakan sebelum solat wajib, dan waktu-waktunya ialah: 2 rakaat sebelum solat Subuh, 2 rakaat sebelum solat Zuhur, 2 atau 4 rakaat sebelum solat Asar, dan 2 rakaat sebelum solat Isya';

b. Sunat "Ba’diyyah" iaitu solat rawatib yang dikerjakan setelah solat fardhu, dan waktu-waktunya ialah: 2 atau 4 rakaat sesudah solat Zuhur, 2 rakaat sesudah solat Maghrib dan 2 rakaat sesudah solat Isya'.

2. Sunat Dhuha - solat ketika matahari baru naik pada waktu pagi sekadar satu galah tingginya, sekurang-kurangnya 2 rakaat dan sebanyak-banyaknya 12 rakaat (enam salam).

3. Sunat Witir - solat selepas solat Isyak, kebiasaannya dirangkaikan dengan solat sunat tarawih. Bilangan rakaatnya ialah 1, 3, 5, 7, 9 atau 11 rakaat.

4. Sunat Tahajjud - solat pada lewat tengah malam selepas bangun dari tidur.

5. Sunat Tasbih - solat yang mengandungi 300 tasbih, dan dianjurkan sekurang-kurangnya dikerjakan sekali seumur hidup. Solat tasbih ada empat rakaat, dengan satu salam jika dikerjakan pada siang hari, dan dengan dua salam jika dikerjakan pada malam hari.

Cara mengerjakan solat tasbih ialah dengan membaca tasbih 15 kali sesudah membaca surat Al-Fatihah, 10 kali tasbih ketika rukuk, 10 tasbih ketika iktidal, 10 tasbih ketika sujud pertama, 10 tasbih ketika duduk antara dua sujud, 10 tasbih ketika sujud kedua, dan 10 tasbih ketika duduk sebelum qiam di rakaat pertama dan ketiga (atau 10 tasbih selepas tahiyyat awal di rakaat kedua, dan selepas tahiyyat akhir di rakaat terakhir sebelum salam.) Ulangi 75 tasbih ini untuk empat rakaat.

6. Sunat Hajat - solat untuk memohon hajat atau ketika berada dalam kesulitan.

7. Sunat Tahiyyatul Masjid - solat ketika memasuki masjid.

8. Sunat Taubat - solat untuk memohon keampunan setelah menginsafi perbuatan mungkar.

9. Sunat Musafir - solat sebelum keluar untuk bermusafir.

10. Sunat Hari Raya - solat pada hari raya Aidilfitri dan AidilAdha, dan mengandungi takbir tujuh kali pada rakaat pertama, dan takbir lima kali pada rakat kedua.

11. Sunat Tarawih - solat selepas solat Isyak pada bulan Ramadan.

12. Sunat Istikharah - solat untuk meminta petunjuk yang baik, apabila kita menghadapi dua pilihan, atau ragu dalam mengambil keputusan. Sebaiknya dikerjakan pada 2/3 malam terakhir.

13. Sunat Mutlaq - solat sunat tanpa sebab dan tidak ditentukan waktunya, juga tidak dibatasi jumlah rakaatnya.

14. Sunat Wuduk - solat selepas mengerjakan wuduk.

15. Sunat Khusuf (Gerhana) - solat sunat sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari.

16. Sunat Istisqa' (Minta Hujan) - solat sunat yang dikerjakan untuk memohon hujan. Tiga hari sebelum solat istisqa' segenap penduduk diwajarkan berpuasa dan meninggalkan segala kezaliman serta dianjurkan beramal soleh. Pada hari keempat semua penduduk termasuk yang lemah akan pergi ke tempat yang lapang dengan berpakaian sederhana dan tanpa wangi-wangian untuk solat istisqa’. Solat ini juga diiringi dengan dua khutbah selepas solat. Pada khutbah pertama hendaklah membaca istighfar 9 kali dan pada khutbah kedua 7 kali.


Sunday 28 October 2012

RAHSIA SOLAT


SEJARAH SOLAT 5 WAKTU


Nabi Muhammad SAW merupakan Nabi Terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.

Subuh:
Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

Zohor:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

Asar:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

Maghrib:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.

Isyak:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

KELEBIHAN SOLAT

Ibadah Solat adalah satu ibadah yang telah diwahyukan oleh Allah kepada Rasulullah SAW secara lansung atau terus tanpa perantaraan Jibril a.s. sepertimana yang telah kita ketahui di dalam peristiwa Isra' dan Mikraj.Ini memberi petunjuk yang begitu jelas bahawa ibadah solat  adalah ibadah yang amat penting sehingga Allah Taala mengangkat Rasulullah SAW sendiri kelangit untuk mengambil kefardhuan solat seumpama seorang ketua memanggil pekerjanya ke dalam bilik untuk memberikan tugasan yang amat penting.

Oleh yang demikian kita telahpun memahami dan meyakini bahawa pengaruh atau kesan positif solat kepada kehidupan umat Islam terlalu besar terutama dalam membentuk jiwa, diri, akhlak mulia, sifat amanah, perpaduan dalam menuju keberkatan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

 Kepentingan dan hikmah solat kepada orang-orang Islam yang beriman, di antaranya ialah:

1)Solat Untuk Menyembah dan Mengingati Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T: Yang bermaksud:
”Sungguh aku ini Allah,tidak ada tuhan selain aku Dan dirikanlah solat itu semata-mata untuk mengingati Daku”.
(S. Thaha: 14).
Solat adalah pengabdian seorang hamba kepada Allah S.W.T. Berdasarkan maksud ayat ini solat adalah jalan bagaimana untuk kita sentiasa mengingati Allah Ta’ala.Tidak ada jalan lain untuk kita hamba yang beriman ini untuk berhubung dengan Allah melainkan dengan hanya menunaikan solat.Justeru,orang Islam yang tidak menunaikan solat sebenarnya adalah orang yang tidak mengakui Allah itu tuhan yang patut disembah.Malah mereka ini adalah golongan yang telah menipu terhadap pengakuan di dalam syahadah dan  ikrar mereka.Orang Islam yang mengingati Allah,maka Allah akan sentiasa mengingati mereka seperti firman Allah Taala yang bermaksud:

"Maka ingatlah kepadaKu ,Aku pun akan ingat kepadamu."(Ayat 152:Surah al-Baqarah)

2)Tanda pengabdian dan syukur kepada Allah Azzawajalla.
Solat juga merupakan tanda pengabdian dan syukur seorang hamba kepada Allah S.W.T. atas segala nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kepada kita. Firman-Nya:
Yang bermaksud:
”Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberimu(Muhammad saw) nikmat yang banyak. Maka laksanakan solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.(sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah)”. (S. Al-Kautsar: 1-2).

Sekiranya seorang muslim tidak melaksanakan solat,bagaimana cara dia mengucapkan syukur kepada Allah Taala.Adakah cukup sekadar mengungkap ucapan Alhamdulillah atau terima kasih Allah tanpa solat.Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat adalah golongan yang kufur dengan nikmat Allah dan sombong seperti lagak Firaun dan Qarun.

3)Hikmah Solat Dalam Menghapus Dosa.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
”Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar”. (HR Muslim).

Dosa yang dimaksudkan di sini adalah dosa-dosa kecil.Sebagai manusia biasa kita tidak akan terlepas dan bebas dari melakukan dosa.Mata kita mungkin telah terlihat perkara mungkar,lidah kita mungkin berkata sesuatu yang  tidak berhak diperkatakan,begitu juga kepada anggota-angota yang lain yang melakukan kemungkaran.Maka melalui solat ini tadi dengan izin dan rahmat Allah ,kita dapat meminta keampunan dan memadamkan dosa-dosa lalu.Sesuungguhnya orang yang tidak mengerjakan solat adalah golongan yang tidak bimbang dan takut dengan azab dan api neraka Allah.

4)Sembahyang Mencegah Perbuatan Keji dan Mungkar
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:”…dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan kemungkaran”. (S. Al-Ankabuut: 45).
Inilah kesan kebaikan kepada orang yang benar-benar taat mendirikan solat yang ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala.Kita mesti yakin bahawa solat yang ikhlas dan diterima Allah Taala itu  mampu menjadi benteng diri dari perbuatan keji, jahat, maksiat dan kemungkaran.Orang Islam yang tidak menunaikan solat amat mudah diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsu untuk melakukan perkara keji dan mungkar.Sekiranya kita mengamati waktu-waktu solat yang telah diwajibkan kepada kita iaitu Subuh,Zohor,Asar,Maghrib dan Isyak akan menyebabkan kita merasakan tidak ada ruang untuk membuat kemungkaran kerana hampir setiap masa dan ketika kita mendekati  Allah Azzawajalla.


Sesungguhnya amat banyak hikmah solat dalam kehidupan kita seharian.Selain hikmah yang disebutkan di atas solat juga mampu untuk mendidik umat Islam menjadi pengurus yang baik,mampu membentuk disiplin dan mencintai ilmu.Hikmah di atas belum lagi menyentuh berkenaan hikmah solat dari sudut sains dan kesihatan.

Saturday 6 October 2012

RUKUN SOLAT



Rukun Solat  adalah perkara yang sebahagian daripada solat dan bergantung kepadanya sah solat itu. Solat secara amnya mempunyai tiga belas rukun yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu rukun qalbi, fi'li dan qauli.
§  Rukun qalbi (ﻗﻠﺒﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻗﻠﺐqalb bermaksud hati) adalah rukun yang berasaskan kepada hati.
§  Rukun fi'li (ﻓﻌﻠﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻓﻌﻞ - fi'l bermaksud perlakuan) adalah rukun yang berasaskan kepada perbuatan anggota badan. Pergerakan anggota badan atau tindakan tubuh itu memerihalkan rukun tersebut.
§  Rukun qauli (ﻗﻮﻟﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻗﻮﻝ - qaul bermaksud kata-kata) adalah rukun yang berasaskan kepada sebutan dan bacaan.
§   
No.
Rukun
Kategori
No.
Rukun
Kategori
1
Niat
Qalbi
8
Duduk antara dua sujud
Fi'li
2
Berdiri betul
Fi'li
9
Duduk tahiyat Akhir
Fi'li
3
Takbiratul ihram
Qauli
10
Bacaan tahiyat akhir
Qauli
4
Membaca al-Fatihah
Qauli
11
Selawat ke atas nabi dalam tahiyat akhir
Qauli
5
Rukuk
Fi'li
12
Salam
Qauli
6
I'tidal
Fi'li
13
Tertib
Qalbi
7
Sujud
Fi'li