Solat
dari segi bahasa bermaksud doa atau doa dengan sesuatu kebaikan. Dari segi syara‘, solat bermaksud perkataan-perkataan
dan perbuatan-perbuatan yang dimulai
dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat tertentu. Perkataan-perkataan
di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun qawliyy. Manakala perbuatan-perbuatan di dalam
sembahyang dikenali sebagai rukun fi‘liyy
dan perlakuan selain daripada perkataan dan perbuatan dikenali
sebagai
rukun qalbiyy.
WAKTU-WAKTU YANG DITEGAH MELAKUKAN SOLAT
Terdapat lima waktu yang telah dinyatakan oleh Sunnah
sebagai waktu yang ditegah untuk melakukan sembahyang di dalamnya, iaitu:
1. Selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari.
2. Semasa naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih
kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari.
3. Waktu matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir
(masuk waktu Zuhur).
4. Selepas sembahyang ‘Asar hingga terbenam matahari.
5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam.
Tegahan untuk melakukan sembahyang pada waktu-waktu ini
bukanlah mutlaq, tetapi khusus pada jenis sembahyang tertentu sahaja, iaitu:
1. Semua sembahyang yang tidak ada sebab untuk
melakukannya pada waktu-waktu itu seperti sembahyang sunat mutlaq dan
sembahyang sunat tasbih.
2. Sembahyang yang sebab melakukannya terkemudian seperti
sunat ihram dan istikharah.
Semua sembahyang ini jika dilakukan pada waktu-waktu
tersebut hukumnya makruh tahrim yang sangat ditegah dan sembahyang itu juga
menjadi batal. Pengecualian kepada sembahyang yang telah disebut ialah beberapa
sembahyang tertentu iaitu:
1. Sembahyang yang mempunyai sebab untuk melakukannya
seperti sembahyang yang telah luput (qadha’), jenazah, nazar, sunat wudhu’ dan
tahiyyatul masjid.
2. Sembahyang yang mempunyai sebab yang seiringan dengan
waktu itu seperti sembahyang kusuf (gerhana) dan istisqa’ (minta hujan).
3. Sembahyang Jumaat ketika matahari tegak.
4. Sembahyang di Tanah Haram Makkah kerana kelebihan
sembahyang itu sendiri.
Selain daripada waktu-waktu tersebut, terdapat beberapa
waktu lain yang ditegah melakukan sembahyang, antaranya sembahyang semasa
khatib menaiki minbar masjid untuk membaca khutbah dan sebelum sembahyang
Maghrib kecuali sunat rawatib pada kedua-duanya.
Tahniah,blog anda menarik banyak bahan yang dapat diambil daripada blog anda.
ReplyDelete