Monday, 10 December 2012

SOAL JAWAB SOLAT

Soalan : Apakah hikmah di sebalik perintah supaya membaca dengan perlahan (bagi solat Zuhur dan Asar) dan dibaca dengan nyaring (bagi solat Maghrib, Isyak dan Subuh)?

Jawapan: Solat yang dibaca dengan nyaring kerana pada permulaan Islam kaum Muslimin amat lemah, maka sebab itu mereka dibolehkan membaca dengan nyaring ketika bersolat pada kebiasaannya orang kafir tidak lagi berkeliaran pada waktu itu iaitu waktu malam dan subuh. Memandangkan kaum Musyrikin sering berkeliaran pada siang hari maka dengan itu solat dibaca secara perlahan.


Soalan: Seorang lelaki bersolat dengan memakai jubah labuh, semasa ia bersolat ia memandang auratnya sendiri melalui belahan bajunya di dadanya sehingga dapat melihat kemaluannya. Adakah batal solatnya ataupun tidak?

Jawapan: Batal solatnya

Soalan: Jika kita sedang bersolat tiba-tiba kita merasai ada sesuatu melekat dicelah-celah gigi lalu kita pun cuba mengeluarkannya dengan lidah sehingga terpaksa menggerakkan lidah lebih dari tiga kali, adakah perbuatan ini membatalkan solat?

Jawapan : Tidak membatalkan solat dengan hanya menggerakkan lidah walaupun gerakan yang banyak melainkan dengan tujuan untuk bermain-main, maka membatalkan solat.

Soalan : Orang yang bersolat di dalam bilik mandi, adakah dikira makruh ataupun tidak? Adakah masih ada pahala baginya ataupun tidak?

Jawapan : Soal makruh ataupun tidak bukan bergantung pada zat solat itu, tetapi ia dikaitkan dengan soal tempat. Ini bererti tidak menghalang ia daripada mendapat pahala solat yang dikerjakannya selagi solatnya sah dan sempurna. Adapun yang menjadi makruh itu ialah bergantung pada tempat di mana ia mengerjakan solatnya sama seperti bersolat di atas sejadah yang dicuri atau memakai pakaian curi dan sebagainya. Pahala solatnya tetap ada.

Soalan : Ada pendapat mengatakan makruh sekiranya kita bersolat mengikut imam yang fasiq. Manakah yang lebih baik antara mengikut imam yang fasiq atau bersolat secara bersendirian atau kedua-duanya sama sahaja?

Jawapan : Mengikut kaul yang sah, solat secara berjemaah walaupun berimamkan imam yang fasiq adalah lebih baik daripada bersolat secara seorang diri.

.

2 comments:

  1. Tahniah,info berkaitan permasalahan dalam solat yang sangat bermanfaat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Semoga dapat dikongsi bersama.

      Delete