Friday, 7 December 2012

CARA CARA WUDHU'


 CARA-CARA WUDHU'

 Fardhu wudhu' mengandungi enam perkara.

Niat.
Niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh sebahagian daripada muka, tidak disyaratkan berkekalan niat sehingga selesai membasuh muka, tetapi jangan memalingkan niat kepada perkara lain.

Lafaz niatnya ialah :

نَوَيْتُ الْوُضُوْءَ .
Sahaja aku ambil air sembahyang. Atau
نَوَيْتُ الطَّهَارَةَ عَنِ الْحَدَثِ
Sahaja aku bersuci daripada hadas.

Membasuh Muka.
Kawasan muka ialah dari sebelah atas bermula dari tempat tumbuh rambut kepada dan sebelah bawahnya ialah dagu, lebarnya ialah dari anak telinga kepada anak telinga yang satu lagi dan kelilingnya dikira kadar bulat muka.

Wajib membasuh semua kawasan muka tersebut dan juga bulu-bulu yang tumbuh di dalam kawasan muka sama ada jarang atau lebat.

Janggut, misai dan dua tali tudung (jambang) lelaki yang lebat sekira-kira tidak kelihatan kulit yang di bawahnya memadailah membasuh yang zahirnya sahaja. Jikalau tidak lebat dengan sekira-kira kelihatan kulit yang dibawahnya maka wajib menyampaikan air kepada batinnya dan juga kulit yang di bawahnya.

Membasuh dua tangan sehingga dua siku.
Dua siku juga wajib di basuh kerana ianya termasuk anggota wudhu' dan wajib membasuh barang yang di atas dua tangannya daripada bulu zahir dan batin sama ada lebat atau nipis dan juga di celah kuku.

Menyapu kepala
Iaitu menyapu sebahagian daripada kepala atau menyapu sebahagian daripada rambut yang berada di dalam kawasan kepala. Boleh disapu di mana bahagian kepala sama ada di bahagian hadapan, belakang, di sebelah kiri atau di sebelah kanan dengan sekira-kira dinamakan bahagian kepala.

Tidak sah wudhu sekiranya disapu ke atas rambut yang disanggul yang mana apabila diuraikan sanggul itu akan terkeluar daripada kepala. Tidak disyaratkan bahawa menyapu itu dengan digerakkan tangan bahkan memadai dengan meletakkan tangan yang basah ke atas kepala tanpa digerakkan.

Membasuh dua kaki sehingga dua buku lali.
Dua buku lali juga wajib dibasuh kerana ianya termasuk anggota wudhu'.

Wajib membasuh barang yang ada di atas dua kaki dari bulu dan sebagainya sepertimana juga hukumnya pada membasuh anggota tangan.

Perhatian :

Wajib menghilangkan segala benda yang mencegah sampai air kepada kulit seperti minyak , sisik ikan, getah, dakwat yang tebal yang tidak kelihatan warna kulit, duri atau sebagainya. Adapun kuping kudis atau selupat kulit tidak wajib dihilangkan walaupun mudah pada menghilangkannya.

Hukum ini berlaku pada semua anggota wudhu'.

Tertib
Yang dimaksudkan dengan tertib di sini ialah melakukan peraturan mengambil wudhu' mengikut susunan sebagaimana yang disebut di atas tadi satu persatu melainkan niat kerana niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh satu bahagian daripada muka.

Sekiranya seseorang membenar akan empat orang lain membasuh akan anggota wudhu'nya dengan serentak dengan izinnya maka terangkat akan mukanya sahaja.

Adapun jika menyelam seseorang yang berhadas kecil di dalam air dengan berniat wudhu' maka sahlah wudhu'nya kerana hasil tertib dengan hanya berapa lahzoh yang sedikit sahaja.

1 comment:

  1. Anda juga bisa lihat di sini
    Alquran terjemah dengan tajwid blok warna alquranku
    Antony 081331828237
    alquranku
    Info Interior gan...
    plafon rumah

    Thx

    ReplyDelete