Ibadah Solat adalah satu ibadah yang telah diwahyukan oleh
Allah kepada Rasulullah SAW secara lansung atau terus tanpa perantaraan Jibril
a.s. sepertimana yang telah kita ketahui di dalam peristiwa Isra' dan
Mikraj.Ini memberi petunjuk yang begitu jelas bahawa ibadah solat adalah ibadah yang amat penting sehingga
Allah Taala mengangkat Rasulullah SAW sendiri kelangit untuk mengambil
kefardhuan solat seumpama seorang ketua memanggil pekerjanya ke dalam bilik
untuk memberikan tugasan yang amat penting.
Oleh yang demikian kita telahpun memahami dan meyakini
bahawa pengaruh atau kesan positif solat kepada kehidupan umat Islam terlalu
besar terutama dalam membentuk jiwa, diri, akhlak mulia, sifat amanah,
perpaduan dalam menuju keberkatan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan
bernegara.
Kepentingan dan hikmah solat kepada orang-orang Islam yang beriman, di
antaranya ialah:
1)Solat Untuk
Menyembah dan Mengingati Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T: Yang bermaksud:
”Sungguh aku ini Allah,tidak ada tuhan selain aku Dan
dirikanlah solat itu semata-mata untuk mengingati Daku”.
(S. Thaha: 14).
Solat adalah pengabdian seorang hamba kepada Allah S.W.T.
Berdasarkan maksud ayat ini solat adalah jalan bagaimana untuk kita sentiasa
mengingati Allah Ta’ala.Tidak ada jalan lain untuk kita hamba yang beriman ini
untuk berhubung dengan Allah melainkan dengan hanya menunaikan
solat.Justeru,orang Islam yang tidak menunaikan solat sebenarnya adalah orang
yang tidak mengakui Allah itu tuhan yang patut disembah.Malah mereka ini adalah
golongan yang telah menipu terhadap pengakuan di dalam syahadah dan ikrar mereka.Orang Islam yang mengingati
Allah,maka Allah akan sentiasa mengingati mereka seperti firman Allah Taala
yang bermaksud:
"Maka ingatlah kepadaKu ,Aku pun akan ingat
kepadamu."(Ayat 152:Surah al-Baqarah)
2)Tanda pengabdian
dan syukur kepada Allah Azzawajalla.
Solat juga merupakan tanda pengabdian dan syukur seorang
hamba kepada Allah S.W.T. atas segala nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan
kepada kita. Firman-Nya:
Yang bermaksud:
”Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberimu(Muhammad saw)
nikmat yang banyak. Maka laksanakan solat kerana Tuhanmu dan
berkorbanlah.(sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah)”. (S.
Al-Kautsar: 1-2).
Sekiranya seorang muslim tidak melaksanakan solat,bagaimana
cara dia mengucapkan syukur kepada Allah Taala.Adakah cukup sekadar mengungkap
ucapan Alhamdulillah atau terima kasih Allah tanpa solat.Sesungguhnya orang
yang meninggalkan solat adalah golongan yang kufur dengan nikmat Allah dan
sombong seperti lagak Firaun dan Qarun.
3)Hikmah Solat Dalam
Menghapus Dosa.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
”Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya
adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya
dosa-dosa besar”. (HR Muslim).
Dosa yang dimaksudkan di sini adalah dosa-dosa kecil.Sebagai
manusia biasa kita tidak akan terlepas dan bebas dari melakukan dosa.Mata kita
mungkin telah terlihat perkara mungkar,lidah kita mungkin berkata sesuatu
yang tidak berhak diperkatakan,begitu
juga kepada anggota-angota yang lain yang melakukan kemungkaran.Maka melalui
solat ini tadi dengan izin dan rahmat Allah ,kita dapat meminta keampunan dan memadamkan
dosa-dosa lalu.Sesuungguhnya orang yang tidak mengerjakan solat adalah golongan
yang tidak bimbang dan takut dengan azab dan api neraka Allah.
4)Sembahyang Mencegah
Perbuatan Keji dan Mungkar
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:”…dan dirikanlah solat.
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan kemungkaran”. (S.
Al-Ankabuut: 45).
Inilah kesan kebaikan kepada orang yang benar-benar taat
mendirikan solat yang ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala.Kita mesti yakin
bahawa solat yang ikhlas dan diterima Allah Taala itu mampu menjadi benteng diri dari perbuatan
keji, jahat, maksiat dan kemungkaran.Orang Islam yang tidak menunaikan solat
amat mudah diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsu untuk melakukan perkara keji
dan mungkar.Sekiranya kita mengamati waktu-waktu solat yang telah diwajibkan
kepada kita iaitu Subuh,Zohor,Asar,Maghrib dan Isyak akan menyebabkan kita
merasakan tidak ada ruang untuk membuat kemungkaran kerana hampir setiap masa
dan ketika kita mendekati Allah
Azzawajalla.
Sesungguhnya amat banyak hikmah solat dalam kehidupan kita
seharian.Selain hikmah yang disebutkan di atas solat juga mampu untuk mendidik
umat Islam menjadi pengurus yang baik,mampu membentuk disiplin dan mencintai
ilmu.Hikmah di atas belum lagi menyentuh berkenaan hikmah solat dari sudut
sains dan kesihatan.