Friday, 7 December 2012

WUDHU'


WUDHU' (AIR SEMBAHYANG)

 Bersuci adalah perkara yang paling penting di dalam beribadat kepada Allah, oleh itu seseorang yang akan melakukan ibadat sembahyang diwajibkan berwudhu' terlebih dulu sebagaimana Firman Allah Taala :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاَةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Yang Bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. (Surah Al-Maidah : 6)

 Sabda Nabi Muhammad SAW :

لا يقبل الله صلاة من احدث حتى يتوضاء

 Allah tidak menerima sembahyang seorang yang berhadas sehingga mereka mengambil wudhu'.

CARA CARA WUDHU'


 CARA-CARA WUDHU'

 Fardhu wudhu' mengandungi enam perkara.

Niat.
Niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh sebahagian daripada muka, tidak disyaratkan berkekalan niat sehingga selesai membasuh muka, tetapi jangan memalingkan niat kepada perkara lain.

Lafaz niatnya ialah :

نَوَيْتُ الْوُضُوْءَ .
Sahaja aku ambil air sembahyang. Atau
نَوَيْتُ الطَّهَارَةَ عَنِ الْحَدَثِ
Sahaja aku bersuci daripada hadas.

Membasuh Muka.
Kawasan muka ialah dari sebelah atas bermula dari tempat tumbuh rambut kepada dan sebelah bawahnya ialah dagu, lebarnya ialah dari anak telinga kepada anak telinga yang satu lagi dan kelilingnya dikira kadar bulat muka.

Wajib membasuh semua kawasan muka tersebut dan juga bulu-bulu yang tumbuh di dalam kawasan muka sama ada jarang atau lebat.

Janggut, misai dan dua tali tudung (jambang) lelaki yang lebat sekira-kira tidak kelihatan kulit yang di bawahnya memadailah membasuh yang zahirnya sahaja. Jikalau tidak lebat dengan sekira-kira kelihatan kulit yang dibawahnya maka wajib menyampaikan air kepada batinnya dan juga kulit yang di bawahnya.

Membasuh dua tangan sehingga dua siku.
Dua siku juga wajib di basuh kerana ianya termasuk anggota wudhu' dan wajib membasuh barang yang di atas dua tangannya daripada bulu zahir dan batin sama ada lebat atau nipis dan juga di celah kuku.

Menyapu kepala
Iaitu menyapu sebahagian daripada kepala atau menyapu sebahagian daripada rambut yang berada di dalam kawasan kepala. Boleh disapu di mana bahagian kepala sama ada di bahagian hadapan, belakang, di sebelah kiri atau di sebelah kanan dengan sekira-kira dinamakan bahagian kepala.

Tidak sah wudhu sekiranya disapu ke atas rambut yang disanggul yang mana apabila diuraikan sanggul itu akan terkeluar daripada kepala. Tidak disyaratkan bahawa menyapu itu dengan digerakkan tangan bahkan memadai dengan meletakkan tangan yang basah ke atas kepala tanpa digerakkan.

Membasuh dua kaki sehingga dua buku lali.
Dua buku lali juga wajib dibasuh kerana ianya termasuk anggota wudhu'.

Wajib membasuh barang yang ada di atas dua kaki dari bulu dan sebagainya sepertimana juga hukumnya pada membasuh anggota tangan.

Perhatian :

Wajib menghilangkan segala benda yang mencegah sampai air kepada kulit seperti minyak , sisik ikan, getah, dakwat yang tebal yang tidak kelihatan warna kulit, duri atau sebagainya. Adapun kuping kudis atau selupat kulit tidak wajib dihilangkan walaupun mudah pada menghilangkannya.

Hukum ini berlaku pada semua anggota wudhu'.

Tertib
Yang dimaksudkan dengan tertib di sini ialah melakukan peraturan mengambil wudhu' mengikut susunan sebagaimana yang disebut di atas tadi satu persatu melainkan niat kerana niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh satu bahagian daripada muka.

Sekiranya seseorang membenar akan empat orang lain membasuh akan anggota wudhu'nya dengan serentak dengan izinnya maka terangkat akan mukanya sahaja.

Adapun jika menyelam seseorang yang berhadas kecil di dalam air dengan berniat wudhu' maka sahlah wudhu'nya kerana hasil tertib dengan hanya berapa lahzoh yang sedikit sahaja.

MENGQADHA SOLAT


Membayar (Mengqadha) Solat

Membayar (mengqadha) solat yang ditinggalkan hukumnya wajib, baik kerana lupa, lalai atau pun tertidur.

Rasulallah saw bersabda: “Siapa yang tertidur atau lupa solat, maka solatlah ketika ingat” (HR Bukhari Muslim).

Dalam hadis  lainya yang diriwayatkan dari Imran bin Hushain ra, ia berkata: “Pernah kami pada suatu perjalanan bersama dengan Nabi saw dan kami berjalan malam hari sehinggal larut malam. Lalu kami tidur dan tidak ada tidur yang lebih nyenyak dari itu bagi orang musafir, dan tidak ada yang membangunkan kami selain panas matahari. Setelah Nabi saw bangun, mereka mengadukan kepada beliau hal kesiangan mereka. Rasulallah saw menjawab: tidak mengapa dan mari kita berangkat! Lalu Nabi berangkat dan setelah berjalan tidak seberapa jauh, Nabi berhenti dan berwudhu’ dan orang-orang dipanggil untuk solat, maka solatlah Nabi saw bersama mereka. (HR Bukhari Muslim)





Saturday, 1 December 2012

SYARAT SAH SOLAT



SYARAT-SYARAT SOLAT

Syarat dalam sembahyang terbahagi kepada dua iaitu syarat taklif atau dikenali sebagai syarat wajib dan syarat sah atau tunai.

SYARAT WAJIB SOLAT

Syarat wajib ialah sesuatu yang bergantung kepadanya ketentuan wajib atau tidaknya sembahyang ke atas seseorang.
Syarat-syarat wajib dalam sembahyang adalah seperti berikut:
1. Beragama Islam.

2. Baligh.

3. Berakal.

4. Suci daripada haidh dan nifas.

5. Selamat salah satu anggota deria sama ada pendengaran atau penglihatan. Sembahyang tidak wajib ke atas orang yang dilahirkan buta dan pekak.

6. Sampai seruan agama Islam. Sembahyang tidak wajib kepada mereka yang tinggal terpencil dan tidak pernah berjumpa dengan pendakwah Islam.


SYARAT SAH SOLAT

Syarat sah sembahyang adalah syarat yang menentukan kesahihan sesuatu sembahyang atau dengan kata lain kesahihan sesuatu sembahyang bergantung kepadanya.
Syarat-syarat sah sebahyang adalah seperti berikut:
1. Suci daripada hadath kecil dan besar.

2. Suci tempat, pakaian dan tubuh badan daripada sebarang najis yang tidak dimaafkan.

3. Mengetahui tentang masuknya waktu sembahyang sama ada dengan yakin atau jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenainya.

4. Menutup aurat.

5. Menghadap ke arah qiblat (Ka‘bah).

Friday, 30 November 2012

PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT

PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT

Sembahyang akan terbatal apabila seseorang yang bersembahyang melakukan salah satu daripada perkara-perkara berikut:
1. Percakapan yang disengajakan selain Al-Qur’an, zikir dan doa. Percakapan yang membatalkan itu sekurang-kurangnya terdiri daripada dua huruf atau lebih sekalipun tidak difahami maknanya. Begitu juga jika hanya satu huruf tetapi difahami maknanya.

2. Melakukan perbuatan atau pergerakan luaran yang banyak (lebih tiga kali) dan berurutan.

3. Gugur salah satu daripada syarat-syarat sembahyang. Antaranya:

a) Berlaku hadath sama ada kecil atau besar sebelum salam pertama secara sengaja atau tidak kecuali hadath yang berterusan seperti seorang yang berpenyakit buasir serius.

b) Terkena najis yang tidak dimaafkan sama ada pada badan, pakaian atau tempat sembahyang tanpa sempat dibuang atau dielakkan serta merta sebelum berlalu tempoh tama’ninah yang paling minima.

c) Aurat terbuka secara sengaja walaupun ditutup serta merta atau tidak sengaja tetapi sempat menutupnya serta merta.

d) Dada terpesong daripada qiblat dalam keadaan sedar.

e) Orang yang bersembahyang menjadi gila, pengsan atau mabuk semasa melakukannya.

4. Berlaku kepincangan pada salah satu rukun sembahyang seperti dalam keadaan berikut:

a) Mengubah niat dengan berazam untuk keluar daripada sembahyang atau menggantungkan tamat sembahyang dengan sesuatu perkara.

b) Syak pada niat, takbiratul ihram atau pada jenis sembahyang yang diniatkan.

c) Merasa ragu-ragu atau syak sama ada telah memutuskan sembahyang atau tidak.

d) Sesuatu rukun diputuskan dengan sengaja seperti melakukan i‘tidal sebelum sempurna ruku‘ secara tama’ninah.

e) Menambah mana-mana rukun dengan sengaja seperti menambah ruku‘ atau sujud.

f) Memanjangkan rukun yang pendek dengan sengaja.

5. Makan dan minum semasa sembahyang dengan banyak melebihi uruf.

6. Ketawa, berdehem, menangis, mengerang kesakitan yang dilakukan dengan sengaja hingga mengeluarkan bunyi yang jelas sekadar dua huruf sekalipun tidak difahami.

7. Murtad walaupun dalam bentuk gambaran kasar bukannya secara hukmi.

PENGERTIAN SOLAT

PENGERTIAN SOLAT 

Solat dari segi bahasa bermaksud doa atau doa dengan sesuatu kebaikan.   Dari segi syara‘, solat bermaksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan   yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan   syarat-syarat tertentu. Perkataan-perkataan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun qawliyy.  Manakala perbuatan-perbuatan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun   fi‘liyy dan perlakuan selain daripada perkataan dan perbuatan dikenali
sebagai rukun qalbiyy.


WAKTU-WAKTU YANG DITEGAH MELAKUKAN SOLAT

Terdapat lima waktu yang telah dinyatakan oleh Sunnah sebagai waktu yang ditegah untuk melakukan sembahyang di dalamnya, iaitu:

1. Selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari.

2. Semasa naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari.

3. Waktu matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir (masuk waktu Zuhur).

4. Selepas sembahyang ‘Asar hingga terbenam matahari.

5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam.

Tegahan untuk melakukan sembahyang pada waktu-waktu ini bukanlah mutlaq, tetapi khusus pada jenis sembahyang tertentu sahaja, iaitu:
1. Semua sembahyang yang tidak ada sebab untuk melakukannya pada waktu-waktu itu seperti sembahyang sunat mutlaq dan sembahyang sunat tasbih.

2. Sembahyang yang sebab melakukannya terkemudian seperti sunat ihram dan istikharah.

Semua sembahyang ini jika dilakukan pada waktu-waktu tersebut hukumnya makruh tahrim yang sangat ditegah dan sembahyang itu juga menjadi batal. Pengecualian kepada sembahyang yang telah disebut ialah beberapa sembahyang tertentu iaitu:
1. Sembahyang yang mempunyai sebab untuk melakukannya seperti sembahyang yang telah luput (qadha’), jenazah, nazar, sunat wudhu’ dan tahiyyatul masjid.

2. Sembahyang yang mempunyai sebab yang seiringan dengan waktu itu seperti sembahyang kusuf (gerhana) dan istisqa’ (minta hujan).

3. Sembahyang Jumaat ketika matahari tegak.

4. Sembahyang di Tanah Haram Makkah kerana kelebihan sembahyang itu sendiri.

Selain daripada waktu-waktu tersebut, terdapat beberapa waktu lain yang ditegah melakukan sembahyang, antaranya sembahyang semasa khatib menaiki minbar masjid untuk membaca khutbah dan sebelum sembahyang Maghrib kecuali sunat rawatib pada kedua-duanya.